Yes, motosikal berkuasa tinggi sememangnya menjadi kegilaan kaum Adam, tapi jangan hairan jika ia juga menjadi kegilaan utk kaum Hawa. Kaum Hawa dulu bukan mcm skrg lagi, kegilaan motosikal berkuasa tinggi ini seakan2 menjadi trend masyarakat skrg. Tiada istilah takut dalam hidup mereka bahkan bahaya yg mungkin menimpa. Bagi lima bintang wanita popular tanahair, Erra Fazira, Dira Abu Zahar,
Lisdawati, Linda Onn dan Datuk Siti Nurhaliza , mereka berjinak2 dengan motosikal sejak kecil lagi dan menjdaikan hobi menunggang motosikal berkuasa tinggi ini. Bagi peminat motosikal berkuasa tinggi ini, pastinya menjadi kepuasan kepada mereka.
Sememangnya bukan mudah untuk
seorang wanita menunggang motosikal berkuasa tinggi sehingga mencecah 1200 cc.
Selain berat, ia juga memerlukan seseorang penunggang itu mempunyai tenaga yang
kuat untuk menunggangnya kerana jika silap percaturannya, maka motosikal besar
itu boleh terbalik dan menimpa pemiliknya.
Bagi Erra, Dira, Siti,
Lisdawati dan Linda mereka mempunyai sebab mengapa memilih aktiviti yang
dianggap milik golongan kaya itu sebagai hobi. Mereka juga berkongsi pengalaman
manis dan pahit menunggang motosikal berkuasa tinggi sebagai hobi.
Siti Dengan Harley Davidsonnya KCT1
Selain keempat-empat artis jelita itu, penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza Taruddin juga kini menjadikan aktiviti menunggang motosikal berkuasa tinggi bersama suaminya, Datuk Khalid Mohamad Jiwa sebagai hobi baharunya.
Hobi itu dikatakan mula timbul selepas Siti dan suami pulang daripada percutian di Capetown awal Mei lalu.
Khabarnya sejak kecil lagi Siti memang suka menunggang motosikal di kampungnya. Namun, selepas bergelar penyanyi dia tidak berpeluang lagi menunggang motosikal.
Setelah berkahwin dan mengikuti konvoi ketika bercuti di Capetown minat Siti untuk menunggang motosikal kembali timbul. Malah, ia beralih arah pula kepada motosikal berkuasa tinggi.
Minatnya itu juga dikongsi bersama suaminya apabila mereka sering menyertai konvoi menunggang motosikal berkuasa tinggi sejak pulang dari Capetown.
Menariknya, disebabkan minat baharunya itu Siti juga dikatakan sanggup membeli motosikal Harley Davidson dan membida nombor plat KCT1 dengan harga RM65,550 dan didaftarkan untuk motosikal berkuasa tinggi itu.
Dira simpan motosikal di rumah abangnya!
Jangan anggap pelakon dan
pengacara Melodi, Dira Abu Zahar tau Dira, 28, kasar atau ganas apabila menjadi
penunggang tegar motosikal berkuasa tinggi.
Baginya, menunggang motosikal
besar merupakan hobi yang tidak akan sekali-kali merubah dirinya menjadi kasar
atau ganas.
“Siapa yang menganggap wanita
yang menunggang motosikal berkuasa tinggi itu kasar atau ganas mereka silap.
Kata-kata sebegitu tidak relevan digunakan untuk kami. Mungkin kami sedikit
berani dan kasar tapi fizikal tidak semestinya berubah,” ujarnya.
Berkongsi minatnya itu, Dira
sudah mendapat pendedahan menunggang motosikal berkuasa tinggi sejak kecil lagi
daripada abang kandungnya, Muhd. Idi Iskandar.
Bermula di tingkatan tiga lagi
anak bongsu itu sering mengikut abang dan kawan-kawan abangnya ke mana sahaja
menunggang motosikal berkuasa besar. Dari situ mula timbul minat Dira untuk
memiliki dan menunggang motosikal berkuasa tinggi sendiri.
Kecintaannya pada motosikal
berkuasa tinggi direalisasikan ketika usianya mencecah 20 tahun.
Dira membeli motosikal Harley
Davidson Sportster hasil daripada titik peluhnya sendiri membuat kerja
sampingan sejak di bangku sekolah tanpa bantuan kedua orang tuanya memandangkan
minatnya itu tidak pernah diketahui atau diceritakan kepada mereka.
“Berkat kerja sejak di bangku
sekolah. Kumpul duit, akhirnya saya mampu memiliki motosikal sendiri. Awal-awal
beli motosikal itu, ibu bapa saya tidak tahu dan saya takut memberitahu mereka
kerana mereka pasti marah.
“Selama setahun saya menyimpan
dan menyorokkan motosikal itu di garaj rumah abang. Selepas itu barulah saya
berani untuk berterus-terang dengan ibu bapa saya dan meyakinkan mereka saya
tahu menjaga diri,” ujarnya yang merasa puas setiap kali menunggang motosikal
berkuasa tinggi.
Sehingga kini, Dira sudah
berjaya menunggang motosikal berkuasa tinggi sehingga ke seluruh Malaysia.
Malah, sudah beberapa kali membawa anaknya, Tengku Anggun Deandra Tengku
Shafiz-Rullah menyertai konvoi motosikal berkuasa tinggi bersama abang dan
suaminya.
Tambah Dira, sememangnya
Anggun sudah didedahkan dengan aktiviti itu sejak usianya setahun lagi. Malah,
anaknya yang berusia empat tahun itu sudah memiliki motosikal jenis Pocket Bike
yang dibelikan oleh Dira.
“Saya tidak pernah menghalang
jika dia mempunyai minat yang serupa dengan saya.
Malah, jika dia ingin
menjadikan aktiviti menunggang motosikal sebagai kerjaya juga saya izinkan
asalkan dia perlu mempunyai pengetahuan dan latihan yang betul dan mencukupi
tentang menunggang motosikal,” ungkapnya optimis.
Tidak kedekut berkongsi
mengenai perbelajaannya kepada minatnya itu, Dira mengaku sudah berhabis hampir
RM200,000 semata-mata memiliki dan mengubah suai motosikal jenis Harley
Davidson XR1200cc yang baru dibelinya tahun lepas.
Atas minatnya itu juga, Dira
mencipta kelainan apabila menunggang motosikal berkuasa tinggi dengan
mengenakan busana perkahwinan ketika resepsi perkahwinannya bersama Mohd. Helmi
Mohd. Yusof, 33.
Lisdawati sudah pegang rekod Malaysia
Bagi pelakon Lisdawati
Nazaruddin, 33, dia tidak menganggap aktiviti menunggang motosikal besar
sebagai hobi sebaliknya minat semulajadi sejak dulu lagi. Pintalah apa jua
jenis motosikal sama ada yang kecil mahupun yang berkuasa tinggi, isteri kepada
pelakon Fauzi Nawawi itu mampu menunggangnya.
Bercerita tentang minatnya
itu, cerita Lisdawati, sejak umurnya 19 tahun lagi dia sudah mempunyai lesen
motosikal. Motosikal pertama yang ditunggang dan dimiliki Lisdawati merupakan
motorsikal Yamaha TZM yang dibeli hasil titik peluhnya sendiri ketika berusia
19 tahun.
“Selama dua tahun saya jadi
penunggang jalan raya setia. Bawa motosikal itu pergi dan balik daripada
kerja,” ungkapnya ketika ditemui pada sidang media memperkenalkan 16 peserta
program Pilih Kasih di Hotel Holiday Villa, Subang.
Itulah satu-satunya motosikal
yang dibeli Lisdawati kerana baginya walaupun minatnya ke atas motosikal
berkuasa tinggi begitu mendalam namun dia sedar dia bukan daripada keluarga
yang kaya untuk memperoleh apa yang diinginkan.
Lisdawati juga bukan jenis
pentingkan diri sehingga sanggup berhabis duit untuk merealisasikan minatnya
itu sedangkan banyak keperluan lain yang perlu diutamakan dahulu.
Atas sebab itu juga, ibu
kepada dua cahaya mata itu tidak lagi begitu aktif menunggang motosikal
berkuasa tinggi dan mengikuti konvoi selepas berkahwin dan dikurniakan anak
kerana mengutamakan keluarga. Dia juga tidak pernah mempunyai atau membeli
motosikal berkuasa tinggi walaupun berkeinginan untuk memiliki motosikal
Ducati.
Sebab lain juga, Lisdawati
takut minatnya menunggang motosikal besar mempengaruhi anak-anaknya.
“Lisda takut kalau anak-anak
terdedah dengan aktiviti menunggang motosikal berkuasa tinggi. Saya tak percaya
mereka boleh melakukannya kecuali kalau mereka benar-benar dapat meyakinkan
saya,” ujarnya yang pernah berdepan dengan pengalaman pahit apabila terlibat
dengan kemalangan ketika menunggang motosikal.
Kongsi Lisdawati, kejadian itu
berlaku ketika dia balik dari kerja ketika melalui bulatan Pahang. Akibat
bergesel dengan sebuah motosikal, motosikal Lisdawati berpusing melanggar
pembahagi jalan.
Mujur ketika itu, Lisdawati
dengan segera melepaskan motosikalnya dan tidak ada sebarang kenderaan
melanggarnya. Walaupun berdepan dengan pengalaman pahit sebegitu, minat
Lisdawati untuk menunggang motosikal berkuasa tinggi tidak pernah pudar
sehingga kini.
Berkongsi minatnya itu kepada
peminat, Lisdawati memberitahu, dia pernah menunggang motosikal Honda Fireblade
berkuasa 1100cc milik sebuah syarikat dan pernah menyertai konvoi seluruh
Malaysia seterusnya mencipta rekod Malaysia kerana menunggang dalam tempoh 18
jam pada tahun 2001.
Linda dengan Ducati Monsternya menjelajah 1Malaysia
Minat penyampai radio Suria
FM, Rozlindah Onn atau Linda Onn, 34, pada motosikal berkuasa tinggi pula
bermula sejak dua tahun lalu.
Sebelum ini, Linda tidak
pernah memiliki lesen dan minat untuk menunggang motosikal gara-gara dimarahi
oleh ibunya kerana jatuh ketika menunggang motosikal curi-curi sewaktu berusia
13 tahun.
Namun, segalanya berubah dua
tahun lalu, ketika Linda membelek majalah motokar dan berkenan dengan sebuah
rekaan motosikal berkuasa tinggi, Spyder.
Linda memberitahu, minat
menunggang motosikal juga timbul disebabkan dia berasa tertekan dengan kerjaya
dan bosan di samping menginginkan aktiviti yang boleh memberikan dirinya
kepuasan dan keseronokan.
“Selepas itu, saya terus ambil
lesen dan berkenalan dengan rakan-rakan yang sama meminati motosikal berkuasa
tinggi. Seterusnya membeli sebuah motosikal Ducati Monster pada tahun 2010,”
ujarnya yang membeli motosikal berkuasa tinggi itu sempena sambutan ulang
tahunnya yang ke-33.
Ujarnya, sewaktu membawa balik
motosikal tersebut ke rumah, ibunya terkejut kerana sebelum itu dia tidak
pernah menyuarakan hasratnya untuk memiliki motosikal.
“Setelah saya berjanji pada
ibu akan menunggang motosikal itu dengan berhati-hati, barulah dia lega dan ibu
pun tahu aktiviti saya bersama kawan-kawan,” katanya.
Sejak boleh mengendalikan
motosikal berkuasa besar, Linda bersama rakan-rakannya pernah mengikuti konvoi
300 penunggang motosikal ke Cherating, Pahang dan Sepang, Selangor.
Pemilik kedai makan My Mom’s
Chicken Rice dan My Asam Pedas itu juga menitipkan pengalaman berharga selepas
menyertai aktiviti bermotosikal kerana dilantik sebagai wakil selebriti jelajah
1Malaysia mulai 14 sehingga 21 Mei ini.
Dia turut menyertai kempen
penjelajahan bermotor Jelajah 1Malaysia siri ketiga dengan membawa tema Kami
Prihatin Membanteras Pembuangan Bayi 2011.
Setelah memiliki motosikal
Ducati, Linda menyimpan hasrat untuk memiliki motosikal easy rider seperti
Harley Davidson.
Erra bersama Harley Night Rod Special
Bagi pelakon jelita Fazira Wan
Chek atau Erra Fazira, 38, pula sejak di usia 17 tahun lagi dia sudah mula
menunggang motosikal berkuasa tinggi.
Menurut Erra, disebabkan minat
yang mendalam, dia sanggup menghabiskan duit simpanan semata-mata mahu membeli
sebuah motosikal berkuasa tinggi iaitu Kawasaki ZXR 750.
Motosikal itu juga banyak
memberi pengalaman manis dan pahit buat pelakon filem Hingga Hujung Nyawa itu.
“Saya dan rakan-rakan ambil
keputusan untuk menyaksikan perlumbaan motosikal bertaraf dunia yang akan
diadakan di Batu Tiga, Shah Alam, Selangor. Antara pelumba yang mengambil
bahagian ialah Mike Doohan, pelumba berbangsa Australia yang memang saya
minati.
“Dek kerana seronok menunggang
motosikal dan asyik berkhayal, saya hilang kawalan ketika melalui satu selekoh
tajam. Saya lepaskan handle motorsikal sementara motorsikal pula terpelanting
masuk ke dalam longkang berhampiran.
“Walaupun cedera saya tetap
meneruskan perjalanan menunggang motosikal itu ke perlumbaan tersebut,”
tuturnya yang baru-baru ini membeli sebuah motosikal berjenama Harley Davidson
VRSCDX Night Rod Special berkapasti 1250cc.